Tidak pernah sesuatu pengkhianatan dapat ditutup selama-lamanya. Apabila masa bergerak pergi, sama ada pengkhianatan itu akan terdedah sendiri atau ada orang yang sengaja menggalinya, kita akan lihat kebenarannya kelak.
Sekecil mana pun pengkhianatan itu
suatu hari akan terbuka juga. Kadang-kadang si pengkhianat itu akan
sendiri akan mendedahkannya. Apabila diransang oleh rasa bersalah dan
ingin bertaubat individu ini akan mencari orang yang dikhianatinya untuk
memohon maaf. Ketika itu terdedahlah segalanya.
Oleh itu,
usahlah terlalu rasa sakit apabila anda dikhianati. Percayalah lambat
laun kebenaran akan terbuka jua. Sama ada ketika itu anda masih hidup
untuk melihatnya ataupun telah tiada di muka bumi ini, kebenaran
sentiasa akan berpihak kepada yang jujur.
Jadi, jika anda
tahu anda seorang yang jujur, anda tidakperlu bersusah hati dengan
permainan orang. Jika berupaya gali, galilah, tetapi jika tidak biarkan
sahaja masa membongkarkannya. Anda hanya perlu sedikit kesabaran. Sabar
sentiasa membawa untung di penghujung.
Hakikatnya, tidak
ramai yang menyedari hali ini. Apabila merasakan diri dikhianati mereka
akan bertindak balas. Pelbagai perbuatan yang tidak sesuai barangkali
tercetus termasuklah berdepan, bertengkar, bertelagah, bergaduh,
bertumbuk, malah berbunuh-bunuhan.
Pengkhianatan antara kekasih barangkali antara yang paling kerap terjadi.
Jika
anda mengetahuinya, angkatlah kaki, tidak perlu mendedahkan diri pada
risiko pergaduhan yang boleh membawa pada kesakitan jiwa dan tubuh
badan. Seseorang yang khianat bukanlah rugi jika berpisah dengannya,
sebab setiap pengkhianat tidak cukup mengkhianati sekali. Seandainya dia tidak bertaubat nasuha itulah kegiatan hidupnya sepanjang usia.
Dia akan melakukan lagi dan lagi. Jika anda kembali kepadanya, suatu
hari anda akan dikhianati lagi. Bayangkan ketika itu anda telah pun
bergelar suami isteri.
Ramai orang memberi peluang kedua,
ketiga dan seterusnya pada sebarang pengkhianatan kekasih. Kalau anda
ingin memberi peluang pun usahlah sampai keempat kalinya. Ramai orang
sanggup memberi peluang kekasih mengkhianatinya hingga berpuluh-puluh
kali atas dasar cinta. Malang sungguh berpendirian serupa ini. Cinta
benar-benar telah membutakan mata hati dan mata kepala. Mengapa memberi
peluang kepada ular berbisa untuk menyamar sebagai bangku duduk kita?
BENTENG DIRI
Sabda
Rasulullah S.A.W. “Ada empat perkara, siapa yang melakukannya maka dia
adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat
perkara itu, maka dia mempunyai salah satu sifat munafik, hingga dia
meninggalkannya. Empat sifat itu ialah apabila dipercayai dia khianat,
apabila bercakap dia dusta, apabila berjanji dia mungkir dan apabila
bertengkar dia mengetepikan kebenaran.” (Riwayat Ahmad)
Dalam
hadis ini jelas mengatakan si pengkhianat adalah munafik, jadi mengapa
hendak berurusan lagi dengan dengan si pengkhianat? Begitu ramai manusia
di muka bumi ini hendak berkasih sayang dengan si pengkhianat. Bukankah
itu ibarat duduk di atas ular berbisa, sengaja mencari sebab untuk
digigit?
Jika anda sayangkan kehidupan yang penuh
bermakna, harmoni lagi tenang, bentenglah diri dari sebarang
pengkhianatan manusia. Sebaik sahaja anda tahu sebarang pengkhianatan
telah berlaku, tidak kira apakah ia besar ataupun kecil, pergilah
jauh-jauh darinya. Kita tidak perlukan orang yang mahu mengambil
kesempatan terhadap diri kita kerana sememangnya ramai lagi orang yang
mahu berkorban untuk kejayaan kita. Sesungguhnya cinta yang paling indah
adalah kasih sayang tanpa sebarang pengkhianatan.

No comments:
Post a Comment